JKDM Selangor tumpas 539 kes seludup, rampas komoditi RM124 juta

KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor berjaya mematahkan 539 kes penyeludupan pelbagai barangan terlarang bernilai RM124.7 juta dengan anggaran cukai RM84.4 juta sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kastam Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi menyenaraikan komoditi yang dirampas termasuk minuman keras, tembakau, mercun, dadah, sekerap, besi, barangan elektrik, dan daging sejuk beku.

Beliau menyatakan minuman keras merupakan komoditi utama penyeludupan dengan 57 kes melibatkan nilai rampasan RM6.7 juta dan anggaran cukai RM28.8 juta.

“Minuman keras menjadi pilihan sindiket kerana kadar cukainya tinggi dan permintaan pasaran yang berterusan.

“Mereka menggunakan pelbagai taktik seperti menukar laluan masuk dan mencampurkan barangan dalam kontena untuk mengelak pengesanan,“ katanya dalam sidang media di Klang.

Mohamad Azhar menambah rokok juga menjadi tumpuan aktiviti penyeludupan dengan 39 kes bernilai RM3.23 juta dan cukai RM26.3 juta.

Tembakau mencatatkan 15 kes bernilai RM6.6 juta dengan cukai RM15.5 juta menurut laporannya.

JKDM Selangor turut merampas mercun bernilai RM1.4 juta, dadah RM2.6 juta, sekerap RM56.5 juta, besi RM2.5 juta, barangan elektrik RM6.4 juta, dan daging sejuk beku RM12.6 juta.

“Kesemua 539 kes ini masih dalam siasatan memandangkan kami perlu mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kimia dan agensi berkaitan lain,“ jelasnya.

Kejayaan terkini JKDM Selangor termasuk menumpaskan aktiviti penyeludupan barang larangan bernilai RM6.05 juta melibatkan daging sejuk beku, mangkuk tandas, sinki, minuman keras, telefon pintar, dan bijih timah.

Bagi rampasan daging sejuk beku, pihaknya menahan tiga kontena 40 kaki di kawasan Jalan Telok Gong dan Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

“Rampasan pada 23 Julai dan 11 Ogos melibatkan 51.6 tan dada ayam sejuk beku bernilai RM1.52 juta dan 24.2 tan itik sejuk beku bernilai RM406,164.

“Komoditi ini dipercayai diimport tanpa permit dari negara Asia dan diikrarkan sebagai sayur campuran serta kentang goreng sejuk beku untuk mengelak pengesanan,“ terang Mohamad Azhar.

Pada 15 Julai dan 1 Ogos, JKDM menahan dua kontena 40 kaki di Zon Bebas Pelabuhan Utara yang mengandungi 654 unit mangkuk tandas dan 1,600 unit sinki tanpa sijil kelulusan.

Barangan tersebut bernilai RM852,400 dengan cukai sebanyak RM319,650 menurut kenyataannya.

Rampasan pada 11 Julai melibatkan 4,462.50 liter minuman keras dan 360 unit telefon pintar tanpa permit import dengan nilai minuman keras RM122,171 dan telefon pintar RM203,490 termasuk cukai.

“Kesemua kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit dan Seksyen 133(1)(a) kerana membuat pengikraran tidak benar,“ tegas Mohamad Azhar. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *