KEPALA BATAS: Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn menebus kekecewaan pada peringkat pembukaan apabila muncul juara peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Padang Besar ke Kepala Batas, hari ini.
Pelumba Belanda berusia 31 tahun itu menamatkan saingan sejauh 163 kilometer (km) dengan catatan masa tiga jam 29 minit 59 saat selepas menguasai perebutan ke garisan penamat secara berkumpulan.
De Kleijn, yang menamatkan peringkat pertama di tempat ketiga, kali ini mengatasi pemenang semalam, Matteo Malucelli (XDS Astana Team), yang sekadar berpuas hati di tempat kedua, manakala Enrico Zanoncello (VF Group Bardiani-CSF) di tempat ketiga.
“Saya datang ke sini untuk menang dan saya yakin mampu melakukannya dengan bantuan rakan sepasukan. Mereka bekerja dengan sangat baik dan berjaya meletakkan saya di kedudukan terbaik,” katanya.
Sementara itu, Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan dan Jersi Jingga (Raja Pecut) kekal milik Malucelli.
Pelumba negara Muhammad Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling Team/TSG), terus mempertahankan gelaran Pelumba Asia Terbaik (Jersi Putih) meskipun menamatkan saingan di kedudukan ke-81.
Rakan sepasukan beliau, Wan Abdul Rahman Hamdan, pula muncul Pelumba Terbaik ASEAN, kategori baharu yang diperkenalkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 anjuran Malaysia.
LTdL 2025 berstatus 2.Pro itu bersambung esok dengan peringkat ketiga sejauh 198.2 kilometer (km) dari Gerik ke Pasir Puteh, yang menampilkan tiga zon pendakian di Gerik, Sri Banding dan Puncak Titiwangsa, selain zon pecut di Jeli, Bukit Bunga dan Machang – Bernama