KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine yang dicampurkan dalam minuman herba.
Serbuan di sebuah apartment di Jalan Yap Kwan Seng pada Khamis lepas membongkar kegiatan sindiket itu kira-kira jam 10.20 malam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan pelbagai jenis dadah bernilai RM251,000 telah dirampas.
“Antara yang dirampas ialah 503 botol cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 239.5 kilogram, 298 gram serbuk MDMA, 20 gram dadah jenis Erimin 5 dan 19.6 gram ketamin.
“Dengan jumlah itu, ia boleh digunakan oleh 3,631 penagih dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek berumur 30 dan 32 tahun itu positif ketamin.
Seorang daripada suspek tersebut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Suspek pertama berusia 30 tahun direman hingga 30 September manakala suspek kedua berusia 32 tahun direman hingga 2 Oktober.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis turut menyita dua kenderaan bernilai RM50,000 dan wang tunai RM140 dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan ialah RM301,140.
Sindiket itu dipercayai menyasarkan pasaran pusat hiburan sekitar Lembah Klang.
Kumpulan itu beroperasi sejak awal tahun ini dengan modus operandi menyewa rumah melalui aplikasi dalam talian.
Kedua-dua individu yang ditahan bertindak sebagai penghantar dan dibayar kira-kira RM100 bagi setiap penghantaran.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dang Wangi masih memburu saki baki anggota sindiket yang masih bebas. – Bernama