Mohamed Khaled lawat Qatar perkukuh kerjasama pertahanan

DOHA: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sedang menjalankan lawatan rasmi dua hari ke Qatar bagi memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha, semalam dan disambut oleh wakil rasmi Kerajaan Qatar Komander Tentera Udara Emiri Qatar Mej Jen Mohamed Al Dosari.

Delegasi Malaysia turut disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali serta Atase Pertahanan Malaysia di Ankara Kol Edafi Daud.

Lawatan ini akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Qatar.

MoU ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan strategik serta kerjasama pertahanan kedua-dua negara.

Mohamed Khaled dijadualkan mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al Thani.

Kunjungan hormat ini akan diikuti dengan mesyuarat dua hala antara kedua-dua pihak.

Beliau juga akan mengadakan lawatan rasmi ke Barzan Holdings, sebuah syarikat berkaitan industri pertahanan milik Kerajaan Qatar.

Lawatan itu turut menyaksikan pemeteraian MoU antara syarikat Malaysia, Ingress Corporation Bhd, dengan Barzan Holdings.

Pemeteraian MoU antara syarikat tersebut akan disaksikan oleh Menteri Pertahanan kedua-dua negara.

Mengiringi Mohamed Khaled dalam delegasi Malaysia ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Turut serta dalam delegasi ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *