BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewajibkan tayangan video keselamatan terbitan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri sebagai prosedur standard untuk semua tetamu hotel.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow menyatakan inisiatif ini tepat pada masanya sebagai langkah pencegahan awal bagi kesejahteraan pengunjung.
Beliau menegaskan kerajaan negeri serius menangani isu keselamatan awam dengan aspirasi jelas menjadikan Pulau Pinang destinasi harmoni, menarik, dan diyakini selamat.
“Pulau Pinang telah menyaksikan pertumbuhan luar biasa dalam pelancongan dengan menerima 8.2 juta pelancong tahun lepas, namun peningkatan bilangan pengunjung membawa cabaran baharu terutama berkaitan keselamatan dalam aktiviti air dan penginapan hotel.
“Keputusan kerajaan negeri untuk menguatkuasakan keperluan video keselamatan baharu ini mengukuhkan reputasi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan menarik,“ katanya selepas merasmikan Program Video Kesedaran Keselamatan Kebakaran Tetamu Hotel peringkat JBPM Pulau Pinang.
Video kesedaran keselamatan kebakaran dan air untuk tetamu hotel oleh JBPM Pulau Pinang khusus untuk tetamu hotel bertujuan mendidik pelawat mengenai protokol keselamatan penting.
Pengarah JBPM Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah memaklumkan data operasi menunjukkan insiden lemas kekal antara panggilan kecemasan utama dalam tempoh lima tahun kebelakangan.
Beliau berkata walaupun kadar kesedaran semakin meningkat, masih ada pelancong yang mengambil ringan aspek keselamatan.
Video berkenaan diwujudkan sebagai inisiatif pencegahan awal dengan mesej keselamatan ditayangkan kepada setiap tetamu hotel ketika mendaftar masuk dan semasa di dalam bilik hotel.
“Pendekatan ini adalah langkah proaktif kerana pencegahan awal jauh lebih baik daripada tindakan selepas berlakunya insiden.
“Majlis ini istimewa bagi JBPM kerana bukan sahaja mencatat sejarah, malah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia memperkenalkan pendekatan sebegini bagi memastikan keselamatan tetamu hotel,“ katanya.
Kakitangan hotel akan diberi latihan berkaitan agar mereka boleh menayangkan video tersebut dan memberikan penerangan jika diperlukan.
Usaha ini membuktikan Pulau Pinang sentiasa berada di hadapan dalam inovasi keselamatan awam seiring dengan imej negeri sebagai destinasi pelancongan selamat.
Pendekatan ini juga berpotensi diperluas ke negeri-negeri lain sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai model rujukan nasional dalam aspek keselamatan pelancongan.
JBPM telah menyusun pelan jangka panjang menyeluruh seperti mengintegrasikan teknologi pintar dengan pelan pembangunan aplikasi mudah alih keselamatan air yang boleh diakses oleh semua pelancong.
Penyeragaman modul keselamatan air di hotel juga dibuat supaya semua hotel di Pulau Pinang mempunyai garis panduan seragam. – Bernama