Cubaan seludup hidupan liar RM20,000 gagal di KLIA

PUTRAJAYA: Cubaan menyeludup tiga ekor hidupan liar bernilai RM20,000 ke Mumbai berjaya digagalkan dalam operasi penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan memaklumkan hasil kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan polis bantuan KLIA berjaya mengesan seorang lelaki tempatan cuba membawa keluar hidupan liar menggunakan penerbangan Malaysia Airlines MH0194.

Hasil pemeriksaan ke atas bagasi suspek berusia 46 tahun itu menemukan seekor disyaki ungka dan dua ekor disyaki cuscus yang disembunyikan.

Nilai sitaan dianggarkan mencecah RM20,000 menurut kenyataan itu hari ini.

Suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008.

Semua barang kes telah diserahkan ke pejabat PERHILITAN KLIA untuk tindakan lanjut.

Kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar serta memastikan pintu masuk utama negara tidak dijadikan laluan jenayah rentas sempadan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *