Flotila Global Sumud hampiri perairan utara Mesir menuju Gaza

ISTANBUL: Flotila bantuan Global Sumud telah tiba di perairan utara Marsa Matrouh di pantai Mediterranean Mesir menurut pengajurnya.

Jawatankuasa Antarabangsa bagi Membanteras Sekatan Gaza menjangkakan flotila itu akan belayar menuju perairan utara bandar Alexandria dalam beberapa jam.

“Kami menjangkakan Zionis melakukan jenayah perang terhadap kami pada bila-bila masa ketika kami semakin hampir dengan Gaza,” menurut kenyataan jawatankuasa itu.

Dua kapal utama flotila iaitu OHWAYLA dan ALL IN kini berada hanya 366 batu nautika dari Gaza dengan jangkaan tiba dalam tempoh tiga hingga empat hari.

Flotila ini kini berjumlah 44 kapal dengan penambahan dua bot baharu yang sedang belayar menyertai rombongan.

“Dalam tempoh dua hari lagi, flotila ini akan memasuki zon berisiko tinggi,” menurut kenyataan rasmi flotila.

Jawatankuasa itu menegaskan tekad mereka tidak berbelah bahagi meskipun menghadapi risiko keselamatan yang tinggi.

Sebuah kapal khas akan dihantar membawa wartawan dan petugas perubatan ke Gaza pada 1 Oktober nanti.

Kapal tersebut akan membawa lebih 100 wakil media antarabangsa dan doktor menurut perancangan terkini.

Flotila ini berlayar awal bulan ini dengan tujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Misi utama mereka adalah menghantar bantuan kemanusiaan khususnya bekalan perubatan ke wilayah yang dilanda perang.

Israel telah menutup sepenuhnya lintasan Gaza sejak 2 Mac lalu menghalang kemasukan makanan dan konvoi bantuan.

Keadaan kebuluran di Gaza semakin memburuk akibat sekatan ketat yang dikenakan Israel.

Hanya bekalan terhad dibenarkan masuk secara berselang-seli ke wilayah tersebut.

Banyak bantuan yang dirampas kumpulan bersenjata yang dilindungi Israel menurut pihak berkuasa Gaza.

Israel mempunyai rekod memintas kapal menuju Gaza dan merampas bot aktivis bantuan.

Pengkritik menyifatkan tindakan Israel terhadap kapal bantuan sebagai lanun laut.

Tentera Israel telah membunuh lebih 66,000 penduduk Palestin di Gaza sejak Oktober 2023.

Kebanyakan mangsa yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata. – Bernama-Anadolu

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *