ISTANBUL: Flotila bantuan antarabangsa kini berada kurang 399 batu nautika dari Semenanjung Gaza dan dijangka tiba di wilayah tersebut pada 30 September.
Gabungan penganjur menyatakan setiap minit membawa Flotila Sumud Global semakin hampir ke Gaza dan keadilan untuk rakyatnya.
Mereka turut berkongsi peta menunjukkan laluan kapal-kapal itu menuju ke wilayah yang dikepung itu.
Jurucakap armada Maghreb flotila Wael Naouar mengesahkan kapal dijangka tiba di Gaza pada 30 September atau 1 Oktober.
Beliau menambah mungkin akan berlaku kelewatan bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
Flotila Sumud Global terdiri daripada kira-kira 50 kapal yang berlayar awal bulan ini dengan misi memecahkan sekatan Israel.
Misi utama mereka adalah menghantar bantuan kemanusiaan khususnya bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.
Rakaman video menunjukkan sebuah kapal tentera laut Greece telah berundur selepas mengiringi konvoi di perairan antarabangsa.
Tentera laut Itali dan Sepanyol terus memberikan perlindungan kepada para aktivis di atas kapal sehingga kini.
Seorang aktivis dari Belanda Ross Ykema menyatakan satu-satunya penghalang antara mereka dan Gaza ketika ini hanyalah laut.
Sejak 2 Mac lalu Israel menutup sepenuhnya semua lintasan ke Gaza sehingga menghalang konvoi makanan dan bantuan.
Keadaan ini menyebabkan kebuluran semakin meruncing di wilayah tersebut dengan bekalan terhad dibenarkan masuk secara berselang-seli.
Banyak bantuan yang berjaya masuk turut dirampas kumpulan bersenjata yang dilindungi Israel menurut pihak berkuasa Gaza. – Bernama-Anadolu