KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain warisan yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran badan induk sukan itu.
Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata pihaknya memandang serius perkara itu sambil menegaskan para pemain terlibat ialah rakyat Malaysia yang sah.
“FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook FAM hari ini.
Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain tersebut dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Tujuh pemain yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
Bagaimanapun, FAM menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA itu.
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA mengenai kes berkenaan, sambil menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan – Bernama