Kerajaan terbuka meluaskan BUDI95 kepada pengusaha bot penumpang kecil

LABUAN: Kerajaan terbuka untuk meluaskan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang baharu diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada pengusaha bot penumpang kecil, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pada dasarnya kerajaan tidak melihat sebarang halangan untuk memperluaskan skim itu kepada mereka yang terlibat dalam operasi bot penumpang kerana kumpulan berkenaan turut memainkan peranan penting dalam memberi perkhidmatan kepada komuniti setempat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pulau.

“Kerajaan bersedia bekerjasama dengan kerajaan Sabah dan Sarawak dalam perkara ini kerana pengusaha bot penumpang juga antara kumpulan yang amat bergantung kepada bahan api bersubsidi bagi meneruskan operasi serta kelangsungan hidup mereka,” katanya selepas melawat stesen minyak Petronas di Jalan Pohon Batu di sini hari ini.

Amir Hamzah yang memulakan lawatan kerja dua hari ke Labuan hari ini berkata perbincangan dengan pihak berkuasa negeri yang berkaitan akan membantu mengenal pasti pengusaha yang layak serta memastikan skim itu dilaksanakan secara adil dan berkesan tanpa penyelewengan.

“BUDI95 direka untuk menyalurkan subsidi secara langsung kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan sekiranya pengusaha bot penumpang kecil turut dimasukkan, ini akan mengukuhkan lagi objektif bantuan bersasar itu,” katanya.

Amir Hamzah berkata inisiatif yang merekodkan pembelian RON95 bernilai RM3.7 juta hanya dalam tempoh sehari selepas dilaksanakan, menunjukkan sambutan menggalakkan daripada kumpulan yang layak seperti anggota tentera, polis serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Beliau berkata peluasan skim berkenaan kepada pengusaha bot penumpang bukan sahaja dapat meringankan kos operasi mereka, malah secara tidak langsung memberi manfaat kepada penduduk yang bergantung kepada pengangkutan air sebagai mod perjalanan harian.– Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *