KUALA LUMPUR: Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025 akan dilancarkan bulan depan sebagai usaha mengarusperdanakan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi sebarang risiko khususnya menjelang musim Monsun Timur Laut.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara menetapkan Oktober sebagai Bulan Kesiapsiagaan Nasional sejak 2016.
Beliau menegaskan program ini bukan bertujuan meraikan bencana sebaliknya meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan kesiapsiagaan.
“Penganjuran ini berfungsi sebagai pemangkin bagi meningkatkan kesedaran rakyat dan memupuk penglibatan menyeluruh Whole of Government dan Whole of Society agar kita benar-benar bersedia menghadapi kemungkinan yang mendatang,“ katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Antara matlamat Bulan Kesiapsiagaan Nasional ialah meningkatkan tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana.
Program ini juga bertujuan menghebahkan langkah-langkah mitigasi yang dilaksanakan kerajaan serta menekankan bahawa pengurusan bencana adalah tanggungjawab bersama.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata biarpun bencana tidak dapat dielakkan, namun risiko dan kesannya boleh diurus.
Beliau menekankan kesan bencana mampu diminimumkan sekiranya kesiapsiagaan diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Justeru, marilah kita bersama menyemai kesedaran, memperkukuh kesiapsiagaan dan membudayakan sikap berjaga-jaga dalam setiap lapisan masyarakat.”
“Sentiasa siaga, bencana terjaga,“ katanya. – Bernama