NEW YORK: Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap Israel sambil menegaskan kekejaman rejim Zionis tidak boleh dibiarkan berterusan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata serangan terbaharu Israel di Doha merupakan pencabulan kedaulatan negara dan penghinaan terhadap usaha pengantaraan.
Beliau menyatakan keganasan Israel akan terus menggugat kestabilan rantau Timur Tengah dengan kesan merebak ke seluruh dunia.
“Kekejaman ini mungkin bermula dengan Palestin, tetapi ia pasti tidak akan berakhir dengan Palestin,” katanya semasa menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung PBB.
Mohamad menegaskan bahawa sekadar menyokong penyelesaian dua negara tidak lagi mencukupi untuk menangani krisis semasa.
Beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk terus menyokong rakyat Palestin melalui apa jua langkah termasuk Deklarasi New York.
Tindakan konkrit mesti diambil terhadap kuasa pendudukan Israel manakala sokongan jangka panjang diperlukan untuk pembangunan negara Palestin.
“Ujian yang kita hadapi kini adalah ujian kewujudan bagi PBB setelah 77 tahun pembersihan etnik Palestin,” katanya.
Mohamad turut menggesa PBB melaksanakan reformasi segera untuk menangani cabaran global termasuk isu Palestin.
Beliau mencadangkan tiga pembaharuan mendesak iaitu mengehadkan atau menghapuskan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan.
“Kita mesti mencabar setiap kali kuasa veto digunakan khususnya dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan,” tegasnya.
Kuasa perlu dikembalikan kepada Perhimpunan Agung sebagai badan paling inklusif tanpa sekatan.
Mekanisme pembiayaan global juga perlu direka bentuk semula bagi memastikan ketelusan dan keadilan untuk negara Selatan Global.
Mohamad menegaskan reformasi PBB bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan mutlak untuk masa depan.
Beliau menggesa PBB menuntut kebertanggungjawaban melalui Resolusi 76/272 iaitu Inisiatif Veto.
Kegagalan berulang Majlis Keselamatan memenuhi kehendak Perhimpunan Agung mesti ditentang dengan tegas.
“Kita mesti mencari hasil melalui Resolusi 377A iaitu Bersatu Demi Keamanan,” katanya.
PBB mesti membebaskan Majlis Keselamatan daripada keadaan lumpuh yang memalukan ini.
Pertubuhan antarabangsa itu perlu kekal relevan sebagai penjaga keamanan global yang berkesan.
Serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 telah mengakibatkan lebih 65,000 kematian rakyat Palestin di Gaza.
Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah tersebut dan membawa kepada kebuluran besar-besaran. – Bernama