JIM tahan 86 warga asing dalam serbuan premis refleksologi tidak bermoral

SERI KEMBANGAN: Seramai 86 warga asing telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan ke atas tujuh premis refleksologi yang disyaki menawarkan perkhidmatan tidak bermoral di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Bahagian Operasi JIM Basri Othman menyatakan serbuan Op Gegar itu dijalankan serentak di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Seri Kembangan dan Kajang.

Beliau berkata serbuan tersebut berjaya menahan 76 wanita dan 10 lelaki yang berusia antara 21 hingga 32 tahun.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada 13 warga Myanmar, 21 warga Indonesia, lapan warga Vietnam, empat warga Kemboja, 38 warga Thailand serta masing-masing seorang dari Pakistan dan Filipina.

“Operasi serentak selama lebih sejam yang bermula pada pukul 5 petang tadi dijalankan hasil risikan pihak kami selama dua minggu susulan aduan awam terhadap premis terbabit.

“Hasil pemantauan yang dijalankan, kami dapati premis ini beroperasi dengan menawarkan perkhidmatan yang tidak bermoral kepada pelanggan dengan bayaran dianggarkan sekitar RM200 hingga RM250,” katanya kepada media di lokasi serbuan.

Basri menambah bahawa kebanyakan pelanggan terdiri daripada warga asing dan terdapat juga warga tempatan yang melanggan wanita-wanita berkenaan.

“Kesemua warga asing ditahan kerana didapati tiada dokumen, tinggal lebih masa dan sebahagiannya menyalahi Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *