JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kejadian memecahkan cermin kereta Tesla dan melarikan beg berisi wang tunai.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata pihaknya mengesan sebuah video tular di laman Facebook yang memaparkan kejadian itu.
Beliau berkata polis kemudian menerima laporan rasmi daripada seorang lelaki berusia 34 tahun pada hari yang sama.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 10.11 pagi, bila mangsa meletakkan kereta elektrik miliknya dalam keadaan baik (berkunci).”
“Mangsa mendapati cermin hadapan bahagian pemandu telah dipecahkan oleh suspek yang tidak dikenali apabila mahu menggunakan kenderaan tersebut.”
Mangsa melaporkan kehilangan sebuah beg berisi sejumlah wang tunai dengan anggaran kerugian sebanyak RM100,000.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu untuk kesalahan mencuri.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.
Masyarakat boleh menghubungi talian 07-5563122 untuk membantu siasatan kes ini. – Bernama