Melaka mohon jajaran baharu WCE hubungkan KLIA dalam Bajet 2026

MELAKA: Kerajaan Melaka memohon agar satu jajaran baharu yang menghubungkan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipertimbangkan segera dalam pembentangan Belanjawan 2026 bulan depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata laluan itu dicadangkan bermula dari Banting, Selangor melalui Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum memasuki Melaka dan seterusnya ke Muar, Johor.

Beliau menekankan bahawa jajaran ini akan menyediakan akses terus ke KLIA sekali gus memenuhi keperluan pemain industri.

“Ini adalah antara perkara yang ditekankan oleh pemain industri di sini dan perkara ini telah dibawa kepada perhatian kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2026.

Ab Rauf menambah bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima baik cadangan tersebut.

“Kita berharap kelulusan dapat diumumkan dalam pembentangan bajet nanti,” ujarnya.

Terdahulu Ab Rauf menghadiri sesi libat urus yang dirasmikan oleh Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata kewujudan jajaran baharu WCE itu penting bagi mengurangkan kesesakan jalan masuk ke Melaka.

Ab Rauf menegaskan ia akan merancakkan lagi perkembangan ekonomi negeri.

“Sekiranya jajaran ini diwujudkan, ia akan memberi impak besar terutama dari aspek pelaburan, pelancongan serta menjadikan Melaka lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut mengusulkan agar Melaka dijadikan pusat halal hab terbesar negara dan hab sekuriti makanan.

“Semua ini akan kita perhalusi dan Perdana Menteri menerima baik cadangan-cadangan tersebut memandangkan ia melibatkan perkembangan ekonomi Melaka,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *