KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengarahkan supaya bantuan serta sokongan sewajarnya diberikan kepada dua petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, pagi tadi.
Nanta dalam hantaran di Facebook berkata sebelum kemalangan, Mohd Hafizi Anuar dan Aliq Hazua Muhammad Musalal menjalankan tugas penyelenggaraan di bangunan Penjara Kajang.
Beliau menyatakan bahawa kedua-dua mereka mengalami kecederaan parah selepas kenderaan jabatan yang dinaiki dirempuh sebuah lori yang dipercayai mengalami kerosakan brek.
Pengurusan Tertinggi Kementerian Kerja Raya dan seluruh warga JKR amat bersedih atas insiden ini.
Nanta mendoakan agar kedua-dua mangsa dikurniakan kesembuhan dan semoga keluarga mereka diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian yang berat ini.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang bayi yang terkorban dalam kemalangan kira-kira 11 pagi itu.
Dalam kejadian itu, lapan mangsa dilaporkan cedera dan telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut. – Bernama