BUCHAREST: Enam bayi telah meninggal dunia manakala tiga lagi dijangkiti dalam wabak bakteria di Hospital Kanak-kanak Sfanta Maria di Iasi, timur laut Romania.
Kementerian Kesihatan Romania mengesahkan sembilan pesakit bawah satu tahun dijangkiti bakteria Serratia marcescens pada Jumaat.
Kementerian itu menegaskan bahawa hubungan perubatan langsung antara jangkitan dan kematian masih belum dapat dipastikan.
Pakar forensik akan menentukan sama ada bakteria tersebut menjadi punca kematian.
Kes pertama dikesan pada 13 September tetapi hanya dilaporkan kepada jabatan kesihatan awam enam hari kemudian.
Laporan itu dibuat selepas empat kanak-kanak telah dijangkiti bakteria berkenaan.
Hospital tersebut juga gagal melaksanakan langkah pengasingan di unit rawatan rapi.
Menteri Kesihatan Alexandru Rogobete mengumumkan siasatan segera kejadian itu.
Beliau memberi amaran akan memecat kakitangan jika cubaan menutup kes atau pelanggaran protokol perubatan disahkan.
Kemasukan ke unit rawatan rapi tempat jangkitan berlaku telah digantung sementara waktu.
Langkah kebersihan dan pemantauan ketat telah diperkenalkan di hospital berkenaan.
Serratia marcescens ialah bakteria yang lazim ditemui dalam air, tanah dan pada permukaan lembap.
Bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan serius kepada pesakit yang terdedah, khususnya di hospital.
Ia selalunya rintang terhadap rawatan antibiotik yang biasa digunakan.
Kementerian Kesihatan Romania berkata siasatan terperinci sedang dijalankan. – Bernama, Xinhua