JPJ Pulau Pinang buka kaunter hujung minggu bagi urusan lesen memanduJPJ Pulau Pinang buka kaunter hujung minggu bagi urusan lesen memandu

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang melanjutkan waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata pihaknya melanjutkan tempoh operasi pada setiap Sabtu dan Ahad selama sebulan bermula hari ini hingga 26 Oktober.

“JPJ Negeri Pulau Pinang melanjutkan tempoh operasi Kaunter Lesen Memandu di pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya, di sini dan Kaunter Pelbagai di Cawangan Batu Uban, George Town pada setiap Sabtu dan Ahad bagi memastikan kelancaran urusan pembaharuan lesen memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifly menasihatkan semua pemegang lesen memandu yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun supaya menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 di mana-mana Institut Memandu berdekatan.

Beliau berkata bagi pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun, mereka dinasihatkan untuk segera memperbaharui lesen menerusi aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk atau di Kaunter Lesen Memandu JPJ berdekatan.

Zulkifly berkata dengan pelaksanaan inisiatif itu, pihaknya yakin dapat membantu rakyat memanfaatkan inisiatif yang diumumkan kerajaan dengan lebih menyeluruh.

Sebarang pertanyaan berkaitan boleh diajukan di talian 04-3927696.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 September ini menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Semua warganegara Malaysia dengan lesen memandu yang sah layak menerima subsidi itu dan berdasarkan data JPJ dan Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 16 juta orang dijangka mendapat manfaat daripada program berkenaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *