Gempa bumi magnitud 5.6 landa Gansu China, tiada kemalangan jiwa

LANZHOU: Gempa bumi bermagnitud 5.6 melanda Daerah Longxi di Bandar Dingxi, Wilayah Gansu di barat laut China pada 5.49 pagi Sabtu.

Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC) memaklumkan pusat gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer.

Pusat gempa dikesan pada latitud 34.91 darjah utara dan longitud 104.58 darjah timur.

Gegaran kuat dirasai di Daerah Longxi, Zhangxian, Weiyuan dan Lintao di Bandar Dingxi serta Daerah Wushan di Bandar Tianshui.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini menurut kerajaan tempatan.

Penduduk tempatan berkata beberapa rumah di kawasan luar bandar Longxi mengalami kerosakan.

Pihak bomba dan penyelamat tempatan telah menghantar pasukan penyelamat serta kenderaan ke kawasan terjejas.

Maklumat mengenai kesan gempa masih dikumpulkan oleh pihak berkuasa.

Pentadbiran Gempa Bumi China melancarkan tindak balas kecemasan tahap 3 susulan kejadian itu.

Mereka menggesa pemantauan serta penilaian dipertingkatkan dan maklumat dikemas kini dari semasa ke semasa.

Ibu pejabat Pejabat Bantuan Gempa Bumi Majlis Negara dan Kementerian Pengurusan Kecemasan turut memulakan tindak balas kecemasan tahap 4.

Pasukan kerja telah dihantar ke kawasan terjejas untuk menyokong usaha bantuan pihak tempatan.

Seramai 200 anggota penyelamat bersama 28 kenderaan daripada pasukan bomba dan penyelamat tempatan sedang dalam perjalanan.

Sebanyak 26 anggota pasukan penyelamat khas dengan tujuh kenderaan juga sedang menuju ke kawasan terjejas. – Bernama, Xinhua

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *