JPNS diarah siasat segera kematian murid sembilan tahun jatuh lubang kumbahan

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) untuk menyiasat segera kejadian menimpa seorang murid sembilan tahun yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang pembentungan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai.

Ketua Pengarah KPM Dr Mohd Azam Ahmad menyatakan KPM mengingatkan semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri agar sentiasa memastikan fasiliti sekolah berada dalam keadaan selamat.

“KPM menzahirkan takziah kepada keluarga murid yang meninggal dunia setelah terjatuh ke dalam lubang pembentungan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan seperti yang dilaporkan media pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa kejadian ini sangat mendukacitakan dan JPNS diarah untuk menyiasat segera kejadian tersebut.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard,” tambah Dr Mohd Azam.

Beliau juga berkata KPM sentiasa memberi perhatian kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan.

Media melaporkan hari ini bahawa kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun itu meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 11 pagi tadi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *