KOTA KINABALU: Barisan Nasional telah menghantar senarai nama calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabah kepada pihak berkuasa bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai latar belakang integriti tinggi dipilih mewakili parti itu.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata nama calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Mahkamah Syariah untuk tapisan.
“Kami menerima antara empat hingga lima nama bagi setiap DUN dan tapisan sememangnya dilakukan, bukan hanya terhadap calon yang bakal bertanding.
“Mungkin selepas ini kepimpinan negeri sama ada di peringkat DUN atau bahagian juga akan melalui proses penapisan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inspirasi Wanita Luar Biasa Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Jelita GiatMARA di sini hari ini.
Ahmad Zahid menekankan bahawa kebolehmenangan calon akan menjadi keutamaan dalam pemilihan calon BN.
Beliau menambah jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi BN pada PRN17 akan dibincangkan bersama Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dewan Undangan Negeri Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal bagi memberi laluan kepada PRN17.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi MARA yang juga Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Penasihat Kehormat RISDA merangkap Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin juga hadir. – Bernama