KPT komited bantu pelajar B40 lanjut pengajian melalui program Sulung, YPS

TAIPING: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kekal komited membantu pelajar terutamanya daripada golongan B40 yang menghadapi masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyatakan bantuan itu disalurkan melalui pelbagai program termasuk inisiatif Sulung serta Tabung Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

Beliau menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengenal pasti maklumat berkaitan pelajar yang terlibat.

“Kita telah dan akan terus menyantuni mereka melalui program Sulung mahupun YPS, tanpa mengira kaum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek MADANI POLYCC di Kampung Batu 8, Bendang Siam di sini hari ini.

Program Sulung merupakan inisiatif pendidikan bagi memberi peluang dan pembiayaan kepada pelajar daripada keluarga B40 yang merupakan anak pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian di peringkat ijazah ke atas di universiti awam.

Zambry juga mengumumkan sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan komuniti di Kampung Batu 8 melalui inisiatif Projek Kampung Angkat MADANI serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MADANI yang dikendalikan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Peruntukan itu merangkumi beberapa projek infrastruktur termasuk menaik taraf surau, pembinaan dewan orang ramai, dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Bendang Siam, bilik jenazah Masjid Al-Wusqa serta gazebo rekreasi di surau sebagai tempat istirahat.

Politeknik Bagan Datuk turut menyumbangkan sebuah bot untuk kegunaan penduduk kampung.

Ketua Pengarah JPPKK Datuk Mohd Zahari Ismail turut hadir dalam majlis penyerahan projek tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *