SANDAKAN: Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 bagi kumpulan pertama yang melibatkan warga Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia berjalan lancar tanpa sebarang masalah setakat tengah hari tadi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan pada hari pertama ini bertindak sebagai ujian tekanan terhadap keupayaan sistem dan stesen minyak.
Beliau menyatakan proses ini penting untuk menilai keupayaan sistem supaya tidak berlaku sebarang gangguan sebelum penggunaan lebih meluas pada Selasa ini.
“Kita akan tengok lagi nanti sebab penggunaan yang lebih besar adalah dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program BUDI95 di sebuah stesen minyak di Jalan Bokara di sini hari ini.
Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter menerusi BUDI95.
Penerima Sumbangan Tunai Rahmah yang merupakan golongan B40 akan menikmati subsidi ini mulai 28 September.
Sebanyak 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif akan menyertai program ini pada 30 September ini.
Saifuddin Nasution berkata sebanyak 13,632 MyKad yang mengalami kerosakan cip telah diganti dalam tempoh lima hari lepas.
Beliau memaklumkan purata rekod penggantian MyKad sebelum ini adalah 1,000 orang sehari, namun jumlah itu meningkat ketara sejak 21 September lepas.
“Jumlah penggantian MyKad yang meningkat itu jelas menunjukkan masyarakat cakna bahawa mereka perlu mendapatkan MyKad yang boleh digunakan untuk penggunaan BUDI95,” katanya.
Mengulas hukuman FIFA ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia dan tujuh pemain warisan negara, Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri menjalankan proses pemberian kewarganegaraan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menekankan pemberian kewarganegaraan adalah proses yang sangat teliti dan berdasarkan sistem perundangan yang sedia ada.
“Pemberian kewarganegaraan secara naturalisasi berdasarkan Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan boleh dipohon sekiranya pemohon mempunyai salasiah keturunan yang sebelum ini pernah berasal dari Malaysia,” katanya.
FIFA telah mengenakan tindakan ke atas FAM dan tujuh pemain kebangsaan kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA memaklumkan FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi. – Bernama