KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan ia sedang menunggu keputusan muktamad daripada Tribunal Bola Sepak di bawah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman yang dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.
Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor John berkata pihaknya sedang menantikan keputusan akhir daripada Tribunal Bola Sepak FIFA.
FIFA telah memaklumkan bahawa jawatankuasa tatatertibnya menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan pemain-pemain tersebut kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang berkaitan dengan pemalsuan dokumen.
Pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FAM didapati menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain berkenaan untuk perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
FIFA menerima aduan rasmi mengenai status kelayakan beberapa pemain selepas perlawanan tersebut.
Susulan aduan itu, FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira 1.8 juta ringgit) manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira 10,560 ringgit) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Hukuman digantung pemain berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan rasmi FIFA.
FAM telah mengesahkan ia akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hukuman tersebut bagi menjaga kepentingan pemain dan pasukan kebangsaan.
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan. – Bernama