BUDI95 lancar hari pertama tanpa aduan teknikal, kata Timbalan Menteri

GEORGE TOWN: Kementerian Kewangan tidak menerima sebarang aduan teknikal berkaitan pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 di stesen minyak seluruh negara yang bermula hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying menyatakan pelaksanaan BUDI95 melibatkan anggota tentera dan polis sebagai kumpulan pertama menikmati inisiatif itu berjalan lancar di seluruh negara tanpa sebarang aduan diterima daripada pengguna.

Berdasarkan tinjauan di stesen minyak, didapati sistem penggunaan MyKad bagi menebus subsidi berjalan lancar.

Setakat ini Kementerian Kewangan juga tidak menerima laporan mengenai gangguan sistem atau masalah pengisian minyak daripada mana-mana stesen minyak seluruh negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program BUDI95: Pengisian Minyak Bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak di Jelutong di sini hari ini.

Inisiatif BUDI95 mula dilaksanakan tengah malam tadi dengan kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan peringkat pertama menikmati subsidi petrol RON95 yang ditetapkan pada harga RM1.99 seliter berbanding pasaran semasa RM2.05 seliter.

Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata melalui BUDI95, sebanyak 16.4 juta warganegara dengan lesen memandu aktif layak menerima kuota petrol bersubsidi hingga 300 liter sebulan.

Beliau berkata mereka boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter dan harga itu juga jauh lebih rendah berbanding Singapura iaitu RM9.02 seliter manakala Thailand RM5.68 seliter.

Sebelum BUDI95 diperkenalkan, kerajaan menanggung subsidi RON95 sekitar RM8 bilion setahun dan dengan BUDI95, unjuran penjimatan adalah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun bergantung kepada harga minyak mentah dunia.

Penjimatan ini akan digunakan semula untuk manfaat rakyat melalui pelbagai program kesejahteraan.

Beliau berkata sebarang masalah berkaitan MyKad boleh diselesaikan segera dengan penggantian cip baharu secara percuma di Jabatan Pendaftaran Negara hingga 7 Okt ini.

Untuk pembelian RON95 bersubsidi, MyKad mesti digunakan sebagai pengesahan warganegara Malaysia.

Kerajaan turut menyediakan pilihan pembayaran digital melalui e-dompet Touch ‘n Go dan aplikasi rasmi syarikat minyak seperti Setel (Petronas), CaltexGo dan Shell App.

Lim berkata Kementerian Kewangan juga bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jatan yang melanjutkan waktu operasi kaunter hujung minggu hingga 26 Okt ini bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu mereka.

Kerajaan juga sedang berbincang dengan syarikat pengendali e-panggilan untuk memperincikan mekanisme khas supaya golongan pemandu tidak terjejas dan terus menikmati subsidi petrol. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *