Jambatan Monorel Putrajaya akan jadi laluan pejalan kaki, basikal Januari 2026

PUTRAJAYA: Jambatan Monorel Putrajaya yang terbengkalai sejak lebih 20 tahun lalu akan diberikan fungsi baharu sebagai jambatan pejalan kaki dan laluan basikal menjelang Januari tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan ia merupakan satu bentuk penggunaan semula secara adaptif untuk memberi nilai baharu kepada struktur sedia ada.

Beliau berkata cadangan untuk memfungsikan semula jambatan monorel itu sering diterima daripada rakyat sejak beliau dilantik sebagai menteri.

“Alhamdulillah, selepas 20 tahun dan di bawah Kerajaan MADANI, isu ini selesai,” katanya dalam ucapan sempena Karnival Putrajaya 2025.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.

Dr Zaliha berkata jambatan tersebut akan menjadi tumpuan pelancong untuk menikmati panorama Tasik Putrajaya.

Mengenai Astaka Morocco di Taman Botani, beliau mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan PPj menambah fungsinya tanpa menjejaskan struktur sedia ada.

“Ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan konsep Baukultur hasil lawatan saya ke Itali,” katanya.

Fadlun ketika ditemui pemberita berkata kerajaan memperuntukkan RM15 juta bagi kerja penambahbaikan jambatan itu.

Beliau berkata kerja menaik taraf struktur jambatan sedang giat dilakukan dan telah mencapai 50 peratus kemajuan setakat ini.

“Kerja sedang berjalan sekarang ini dan dijangka siap Disember ini,” katanya.

Hanya kerja penyambungan jambatan, ramp dan estetik yang masih tinggal.

Fadlun berkata reka bentuk pada waktu malam akan menyerupai Jambatan Saloma Link tetapi dengan identiti Putrajaya.

Beliau menekankan ciri keselamatan dikekalkan jika perkhidmatan monorel dibangunkan pada masa depan.

Jambatan sepanjang 200 meter itu tidak akan dibuka kepada kenderaan selain basikal memandangkan had bebanan asalnya direka untuk sistem monorel.

Karnival Putrajaya 2025 yang sebelum ini dikenali sebagai Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya dijenamakan semula dengan pengisian lebih segar.

Karnival dua hari itu merangkumi lebih 60 aktiviti termasuk kenduri rakyat, persembahan tarian, serta aktiviti rekreasi dan riadah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *