NEW DELHI: Malaysia menganggap India sebagai rakan strategik utama dengan pertalian sejarah dan budaya yang berakar umbi serta diperkukuh melalui hubungan politik dan kerjasama ekonomi yang semakin berkembang, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa.
Beliau berkata hubungan dua hala dijangka terus mendapat momentum selanjutnya pada Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak ASEAN-India di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Tahun lalu, Perdana Menteri kita Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan rasmi ke India. Ketika lawatan itu hubungan dua hala kita telah ditingkatkan kepada perkongsian strategik komprehensif.
“Dari segi ekonomi, kita mempunyai hubungan yang sangat kukuh dengan India. India kini merupakan rakan dagang ke-11 terbesar. Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia merupakan rakan dagang ketiga terbesar,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam anjuran Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India, Randhir Jaiswal bagi meraikan delegasi media dari negara-negara ASEAN.
Seramai 25 wartawan dari sembilan negara Asia Tenggara – Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam – kini berada di India dari 23 Sept hingga 2 Okt bagi lawatan pengenalan yang dianjurkan Kementerian Hal Ehwal Luar India.
Muzafar Shah berkata Sidang Kemuncak ASEAN menawarkan satu lagi peluang untuk memperdalam hubungan ASEAN-India di bawah dasar Act East yang menekankan kerjasama serantau.
Beliau berkata ASEAN telah menjadi keutamaan bagi India di bawah dasar Act East dan kerjasama kini melangkaui bidang ekonomi merangkumi kestabilan serta keselamatan serantau.
“Ini juga selaras dengan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik dan inisiatif Indo-Pasifik India sendiri,” tambahnya.
Beliau menarik perhatian bahawa India sedang muncul sebagai pemain global yang penting dan diunjurkan menjadi ekonomi ketiga terbesar dunia menjelang 2027 dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mengatasi Jerman dan Jepun.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini dijangka menjadi antara perhimpunan paling penting dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perdana Menteri India Narendra Modi adalah antara pemimpin dunia yang dijadual menghadiri persidangan itu – Bernama