KUALA LUMPUR: Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) telah mula dilaksanakan bermula tengah malam tadi. Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan peringkat pertama menikmati subsidi petrol RON95 yang ditetapkan pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkongsi video di laman Facebooknya selepas turun padang bagi memantau pelaksanaan inisiatif tersebut. Beliau menjelaskan kaedah pelaksanaan subsidi itu sebenarnya mudah dan tidak membebankan pengguna.
“Langkahnya sangat mudah hanya perlu imbas kad pengenalan, masukkan jumlah isian dan buat pembayaran,” katanya sambil menambah pengguna juga boleh menggunakan aplikasi Touch ‘n Go sebagai alternatif pembayaran.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga sedar mengenai situasi rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu luar negara. Perkara itu sedang diteliti oleh Kementerian Pengangkutan untuk penyelesaian yang sesuai.
“Saya percaya pada masa yang terdekat, (akan) ada berita yang bagus untuk anda semua (pemegang lesen memandu luar negara),” katanya. – Bernama