PUTRAJAYA: Acara Putrajaya Parks Day 2025 di Taman Botani, Presint 1 di sini menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.
Penganjuran kali ini merupakan edisi keempat sejak diperkenalkan pada 2019 dengan tema “Raikan Belia, Menginspirasikan Masa Depan”.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan acara tersebut dan meluangkan masa melawat beberapa laman taman.
Beliau diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj Siti Fadilah Ramli berkata pemilihan tema menzahirkan komitmen PPj untuk menggalakkan penglibatan belia.
Ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 dan SDG 11 iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan serta Bandar dan Komuniti Mampan.
Pengunjung boleh mencuba aktiviti lasak di Fit Fun Zon seperti zipline, tree climbing dan sling shot.
Zootopia menawarkan pengalaman mesra keluarga bersama petting zoo oleh Farm in the City dan di Laman Rusa.
Suasana turut dimeriahkan dengan kehadiran trak makanan, jualan pokok dan buah-buahan segar serta pameran oleh Putrajaya Holdings.
Pemeriksaan kesihatan percuma turut disediakan oleh Kementerian Kesihatan.
Seorang pengunjung Azira Solihin, 38, berkata beliau membawa tiga anaknya ke acara itu untuk menyertai aktiviti mewarna.
“Saya dapat tahu mengenai program ini daripada Facebook PPJ dan datang dari Seri Kembangan,“ kata pekerja swasta itu.
Acara tersebut turut menjadi platform memperkukuh jaringan komuniti dan mempromosikan bandar mesra alam.
Ia juga memberi inspirasi kepada generasi muda agar lebih aktif dalam melindungi alam sekitar. – Bernama