550 unit CCTV canggih dipasang di 18 lokap AADK seluruh negara

PUTRAJAYA: Sebanyak 550 unit kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi akan dipasang di 18 fasiliti lokap berpusat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata langkah itu bertujuan meningkatkan ketelusan pengoperasian, mencegah insiden yang tidak diingini, dan meminimumkan kesilapan manusia melalui adaptasi teknologi moden termasuk kecerdasan buatan.

“Projek ini dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan semua tahanan berada dalam keadaan selamat dan hak asasi mereka terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan inisiatif itu mencerminkan kesungguhan kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri, dalam memodenkan fasiliti tahanan serta memastikan pengurusan tahanan dijalankan dengan penuh integriti.

Pelaksanaan tersebut juga seiring pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang mula berkuat kuasa pada 22 Ogos lalu.

Ruslin turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana meluluskan pemasangan sistem berkenaan di semua lokap berpusat AADK.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif strategik itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional semalam.

Inisiatif ini merupakan sebahagian komitmen kerajaan di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional bagi meningkatkan integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam urus tadbir agensi penguat kuasa. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *