Anwar mahu rakyat kekal bersatu demi Malaysia disegani dunia

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan rakyat terus memelihara dan mengekalkan perpaduan yang sudah lama terbina agar Malaysia sentiasa aman damai serta disegani pemimpin negara luar.

Beliau berkata semua kaum di Malaysia khususnya para pemimpin perlu terus menjaga dan menyatukan komuniti masing-masing serta mengelakkan sebarang perbalahan yang boleh meruntuhkan perpaduan.

“Oleh itu, saya tidak mahu Sabah bergaduh dengan Selangor, Selangor gaduh dengan Sarawak, Perlis gaduh dengan Kelantan atau Cina gaduh dengan Melayu, Kadazan atau lain-lain,” katanya ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam.

Anwar menegaskan setiap negeri perlu menjaga negeri masing-masing tanpa sebarang kerosakan demi mencapai status nombor satu di Asia.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata ramai pemimpin negara luar telah berjanji untuk datang ke Malaysia pada Oktober ini.

“Siapa yang akan datang? Perdana Menteri China, India, Kanada, Itali dan Presiden Amerika Syarikat, Rusia, Brazil, Afrika Selatan,” katanya sambil menyebut pemimpin dari sebelas negara Asia akan hadir.

Perdana Menteri menzahirkan kebanggaan kerana Malaysia dihormati pemimpin luar meskipun dihuni pelbagai kaum dan agama yang hidup harmoni.

Beliau memberikan contoh pemakaian topi Sigah sebagai simbol penghormatan terhadap budaya dan prinsip perpaduan.

“Di rumah, saya tidak pakai ini namun kita kena raikan bersama, ini cara kita dan ini tidak menyalahi budaya serta agama,” ujarnya.

Program tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *