Rusia mahu tingkat eksport daging halal dan produk tenusu ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Rusia bercadang untuk meningkatkan eksport daging dan produk tenusu yang disahkan halal ke Malaysia pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia, Nikita Kondratev menyatakan langkah ini adalah sebahagian daripada strategi untuk mengembangkan perdagangan dua hala khususnya dalam sektor makanan dan pertanian.

Beliau memberitahu banyak syarikat Rusia telah memperoleh pengiktirafan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Oleh itu, mungkin tahun ini kita akan mula mengeksport lebih banyak daging dan produk susu dari Rusia,” katanya ketika ditemui Bernama sebelum menghadiri mesyuarat dua hala dengan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Nikita menekankan bahawa produk dari Rusia mematuhi standard halal yang sangat tinggi.

Sebagai balasan, Moscow berminat untuk mengimport pelbagai produk Malaysia termasuk barangan elektronik dan hasil pertanian.

Rusia juga menawarkan untuk mengembangkan eksport baja dan produk farmaseutikalnya ke pasaran Malaysia.

“Kami sudah bersedia untuk mengimport dari Malaysia dan berminat dengan produk elektronik dan pertanian yang berbeza,” jelas Nikita.

Mesyuarat dua hala itu diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan.

Perbincangan tersebut turut merangkumi Perundingan AEM-Rusia ke-14 yang berlangsung di ibu negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *