TANJONG KARANG: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengakui wujud peminjam yang culas membuat bayaran balik pinjaman Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara.
Pengerusinya Datuk Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila berkata kadar bayaran yang dikenakan adalah rendah walaupun begitu isu culasan tetap wujud.
Walau bagaimanapun, pihaknya sentiasa memberi ruang kepada peminjam bermasalah untuk melangsaikan hutang dan sehingga kini belum ada mana-mana peminjam yang dikenakan tindakan berat.
“Kita kena faham, SPNB perlu menunaikan amanah yang telah dimandatkan,” katanya pada sidang media di Blok Q Sawah Sempadan.
Mohd Azmi menegaskan bahawa kerjasama peminjam terdahulu diperlukan untuk mematuhi jadual bayaran semula demi kebaikan peminjam pada masa hadapan.
“Isu culas memang ada, tetapi boleh dikatakan tidak banyak dan terkawal,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa SPNB komited menguruskan masalah ini agar tidak meruncing.
Pinjaman yang disalurkan sejak 2002 tidak mahu terjejas teruk akibat isu ini.
Mohd Azmi juga berkata SPNB tidak menghalang peminjam yang juga pemilik unit RMR untuk mengubah suai kediaman.
Namun, mereka seharusnya tidak alpa dengan tanggungjawab melunaskan hutang pinjaman seperti yang telah dipersetujui.
SPNB telah merangka pelbagai kaedah untuk membantu peminjam culas menyelesaikan hutang secara berhemah.
“Sebenarnya SPNB sudah cakna dengan isu ini sejak awal,” katanya.
Kaedah yang dirangkumi termasuk kaedah gadaian tanah dan moratorium selama lima tahun.
Moratorium tersebut membolehkan peminjam menyelesaikan keseluruhan pinjaman secara total.
“Namun sehingga kini kami berjaya menyelesaikan masalah tanpa perlu mengambil semula rumah atau tanah mereka,” jelas Mohd Azmi.
Penyelesaian dilakukan secara baik mengikut perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Terdahulu, Mohd Azmi menyerahkan sebuah rumah baharu yang siap dibina di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat SPNB.
Rumah itu diserahkan kepada Muhamad Zulhadi Mispar, iaitu mangsa kebakaran sebuah kediaman pada 26 Mei lepas.
Difahamkan Muhamad Zulhadi, 27, dan tujuh ahli keluarganya yang lain kini menumpang di sebuah inap desa.
Mereka menerima sumbangan rumah daripada SPNB secara penuh tanpa perlu membuat sebarang bayaran balik.
Untuk rekod, sejak 2002 hingga Ogos tahun ini, SPNB telah membina 73,167 unit RMR di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, 3,814 unit dibina di Selangor.
SPNB merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – Bernama