Sarawak terus perjuang hak MA63 sehingga semua janji dipenuhi

KUCHING: Sarawak akan terus memperjuangkan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sehingga setiap janji yang termaktub dalam perjanjian itu dan Perlembagaan Persekutuan dipenuhi sepenuhnya.

Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan bahawa walaupun sebahagian hak telah dikembalikan melalui langkah pentadbiran, perkara itu perlu dikembalikan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan ia tidak boleh ditarik balik pada masa hadapan.

Beliau menegaskan bahawa satu perjanjian telah dimeterai antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri di bawah MA63.

“Selagi perkara yang diberikan kepada kita sudah termaktub dalam Perlembagaan, perkara itu wajar dilaksanakan mengikut perjanjian, manakala hal yang belum dilaksanakan wajar ditunaikan.”

“Namun, selama ini beberapa hak yang diberi melalui Perlembagaan telah ditarik balik, antaranya berkaitan dengan pelancongan dan alam sekitar.”

Wan Junaidi berkata Sarawak perlu terus berjuang sehingga semua janji yang diberikan dipenuhi.

Beliau menyampaikan syarahan selama 90 minit bertajuk Perjanjian Malaysia 1963: Kunci Keharmonian Persekutuan yang menekankan peranan penting MA63 sebagai asas keharmonian negara.

Acara Syarahan Negarawan 2025 yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menarik penyertaan daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli akademik, pemimpin negeri, pelajar dan orang awam.

Majlis itu turut menjadi platform untuk memperkukuh patriotisme serta nilai pembinaan negara dalam kalangan generasi muda melalui wacana intelektual dan dialog terbuka. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *