Perdana Menteri Anwar Ibrahim memulakan lawatan dua hari ke Sabah

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Tanjung Aru pada pukul 2 petang bagi memulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersama-sama barisan Menteri Kabinet negeri serta ketua-ketua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Anwar yang juga Presiden PKR akan menghadiri Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan Sempena 27 Tahun Reformasi di tiga daerah berbeza di Sabah.

Beliau sejurus tiba meluangkan masa melawat Jambatan Kampung Rampayan di Manggatal sebelum meneruskan tinjauan ke Jeti Sungai Inanam bagi sesi lawatan pascabanjir di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri kemudian melawat Dewan Pisompuruan di Kampung Kobuni, Inanam sebelum menghadiri program kedua di Pusat Komuniti Desa, Merotai Besar, Tawau.

Beliau seterusnya akan menghadiri program ketiga di Dewan Yu Yuan, Sandakan pada hari yang sama.

Pada hari Sabtu, Anwar dijadual menghadiri Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Kompleks Kuarters Angkatan Tentera Malaysia, Taman Samudera, Sandakan.

Selepas itu, beliau akan menghadiri Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Kompleks APMM Zon Maritim, Sandakan.

Perdana Menteri kemudian dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Sandakan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka untuk meneruskan jadual rasmi beliau. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *