KUALA LUMPUR: Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara ASEAN dan Kanada dijangka dimuktamadkan menjelang hujung tahun 2026.
Perjanjian itu diunjurkan memperkukuh hubungan perniagaan dan pelaburan serta menyokong matlamat bersama dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Setiausaha Parlimen Kanada Yasir Naqvi berkata berdasarkan model ekonomi sedia ada, FTA tersebut dijangka meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kanada sebanyak 2.54 bilion dolar AS.
Beliau menyatakan KDNK ASEAN pula diunjurkan meningkat sebanyak 6 bilion dolar AS hasil daripada perjanjian itu.
“Manfaat yang boleh diraih adalah jelas kerana Kanada kaya dengan sumber asli dan kepakaran dalam teknologi mesra alam,” katanya semasa berucap pada Perundingan AEM-Kanada ke-14.
Naqvi menekankan FTA itu akan memberi kelebihan melalui pengurangan halangan perdagangan termasuk tarif dan sekatan bukan tarif.
“Ia juga menyediakan tahap ketelusan dan kepastian yang diperlukan oleh pedagang dan pelabur,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri Kanada Mark Carney dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan sebagai tetamu rasmi.
Kehadiran Carney itu merupakan penyertaan keempat berturut-turut seorang Perdana Menteri Kanada dalam sidang kemuncak berkenaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata FTA tersebut akan memacu pertumbuhan baharu dalam ekonomi digital dan peralihan hijau.
Beliau berkata mesyuarat itu membincangkan perkembangan terakhir perundingan dan persetujuan untuk memuktamadkan FTA pada hujung 2026.
Tengku Zafrul menjelaskan kelewatan pemuktamadan berikutan negara-negara ASEAN mempunyai pandangan yang berbeza.
“Dengan 10 negara yang mempunyai fokus berbeza, tidak begitu mudah untuk ia dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau menegaskan ASEAN mahukan FTA yang relevan untuk semua negara anggota.
“Ia memerlukan lebih masa terutamanya untuk negara yang bukan dalam CPTPP,” jelasnya. – Bernama