KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meluangkan masa untuk menyantuni dan menyalurkan bantuan kewangan kepada 219 ahli Komuniti MADANI serta warga Kementerian Komunikasi di Sabah hari ini.
Bantuan tersebut bertujuan meringankan beban mereka berikutan bencana alam yang melanda negeri ini baru-baru ini.
Seramai 160 penerima merupakan ahli Komuniti MADANI dari daerah Penampang, Beaufort, Kota Kinabalu, Papar dan Tuaran.
Manakala 56 orang ialah warga jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi serta tiga orang dari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Fahmi berkata bantuan wang tunai itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang ditimpa musibah.
“Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial Kementerian Komunikasi serta langkah segera membantu mangsa terlibat,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Beliau menambah inisiatif itu selari dengan prinsip kesejahteraan dan ihsan dalam Malaysia MADANI.
Hujan berterusan minggu lepas telah mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Sabah.
Tragedi itu meragut 14 nyawa termasuk seorang korban banjir.
Kebanyakan penerima yang ditemui mengaku terharu dengan bantuan kewangan yang ditunggu-tunggu itu.
Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah Fathin Alliza Jamal, 38, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Fahmi yang hadir sendiri menyantuni mangsa.
“Saya sangat bersyukur dengan bantuan diberikan,” katanya sambil memberitahu keluarganya sering menjadi mangsa banjir sejak 2017.
Ini merupakan kali pertama beliau dan keluarga menerima bantuan kewangan selepas mengalami kerugian lebih RM5,000 akibat banjir.
Seorang lagi mangsa iaitu ahli Komuniti MADANI Kampung Kibabaig, Penampang, Ricky Richard, 54, turut bersyukur dengan bantuan kali pertamanya itu.
Rumahnya sering dilanda banjir walaupun tidak seteruk mangsa lain dengan air naik hingga paras lutut. – Bernama