Bomba Perak fokus 332 hotspot banjir hadapi Monsun Timur Laut

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut dengan memfokuskan 332 lokasi hotspot berisiko banjir yang dikenal pasti di seluruh negeri.

Pengarahnya Sayani Saidon menyatakan daerah Kuala Kangsar, Kerian serta Larut, Matang dan Selama merupakan antara kawasan yang paling banyak mencatatkan hotspot banjir.

“Kita sudah membuat persediaan dari segi logistik, perkakasan dan peralatan yang perlu digunakan untuk sebarang operasi bencana banjir supaya sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya bersiap sedia mengemas barangan dan dokumen penting untuk membolehkan evakuasi segera jika berlaku banjir.

Sayani mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memudahkan kerja penyelamatan dilaksanakan dengan optimum.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Cuci Malaysia 2025 peringkat JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM di Meru Raya.

JBPM Perak turut mengenal pasti 32 hotspot berisiko insiden kepala air di negeri ini termasuk Sungai Kampung Ruah Batu 7, Sungai Lata Kinjang dan Sungai Lata Iskandar di daerah Batang Padang.

Lokasi lain yang berisiko kepala air ialah Sungai Chepor Dalam dan Lubok Timah di daerah Kinta.

Sayani turut memaklumkan laluan berisiko tinggi tanah runtuh terutamanya akibat hujan lebat adalah Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands dan Jalan Pengkalan Hulu-Betong.

Jambatan Sungai Enggor serta daerah Kinta juga disenaraikan sebagai kawasan tumpuan kerana berisiko tinggi kejadian tanah runtuh.

Pihaknya turut meningkatkan kesiapsiagaan terhadap kemungkinan bencana daripada aktiviti seismik seperti gempa bumi.

Kawasan berisiko termasuk rumah ibadat dalam gua turut diberi perhatian dalam persiapan menghadapi bencana seismik.

“Setakat ini kita masih belum menerima sebarang arahan namun sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi terutamanya pihak berkuasa tempatan,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *