PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diperkukuhkan untuk menyelesaikan masalah petani dan nelayan dengan lebih berkesan.
Beliau menegaskan bahawa isu yang membelenggu golongan tersebut tidak mampu ditangani oleh satu agensi sahaja.
Penyelesaian memerlukan pendekatan bersepadu yang merangkumi pelbagai pihak berkepentingan.
“Penyelesaian masalah petani ini bukan sahaja dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), mesti dengan Jabatan Pertanian, mesti dengan LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) dan mana-mana kaedah serta badan dan agensi yang boleh menyelaras,” katanya.
Anwar menekankan kepentingan jaminan harga untuk merangsang peningkatan pengeluaran hasil pertanian.
“Apa yang dilakukan FAMA dan Kementerian Pertanian itu penting kerana bila harga terjamin, kita boleh tekankan supaya pengeluaran bertambah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Pasar Tani Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Presint 4. – Bernama