PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan sokongan padu kepada Global Sumud Flotilla (GSF) untuk meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza.
Beliau menegaskan bahawa misi tersebut harus diteruskan demi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada rakyat Palestin.
Anwar berkata kezaliman dan keganasan Israel mesti dihentikan sekarang.
Portal berita New Arab melaporkan beberapa negara memberi amaran kepada rakyat masing-masing yang menyertai GSF mengenai risiko serangan Israel.
Seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Misi ini dijangka memasuki zon kuning sebelum tiba di perairan Gaza akhir bulan ini.
Aktivis dari 45 negara ini berlayar bagi memecahkan kepungan ke atas Gaza.
Mereka cekal berdepan pelbagai rintangan termasuk ugutan serangan dron.
Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Misi ini juga membawa mesej keamanan yang menggesa peperangan dihentikan.
Ia menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza bagi menangani krisis kebuluran. – Bernama