Bekas pengurus kilang rugi RM221,000 angkara penipuan dalam talian

KUANTAN: Seorang bekas pengurus kilang mengalami kerugian melebihi RM221,000 akibat diperdaya sindiket penipuan dalam talian pada Mei lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kejadian itu berlaku apabila wanita berusia 59 tahun itu dihubungi individu yang menyamar sebagai petugas hospital mendakwa mengenai tuntutan insurans.

Panggilan telefon tersebut kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang berpura-pura sebagai anggota polis berpangkat Sarjan.

Mangsa kemudian didakwa terlibat dalam urusan jual beli akaun bank untuk kegiatan pengubahan wang haram serta pembelian senjata api.

“Mangsa diugut dengan waran tangkap sekiranya gagal memberikan kerjasama dan diarah menyediakan wang jaminan berjumlah RM378,500,” katanya.

Wanita itu kemudian memindahkan wang simpanannya ke satu akaun bank miliknya sendiri antara 1 hingga 9 Ogos lepas.

Mangsa turut menyerahkan maklumat perbankan kepada suspek kononnya bagi tujuan siasatan polis.

Yahaya berkata mangsa hanya menyedari ditipu pada 27 Ogos lepas selepas membuat semakan baki akaun bank.

Wang simpanannya didapati hanya tinggal RM109.78 selepas sejumlah besar wang telah dikeluarkan.

Mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM150,000 sebelum menyedari penipuan tersebut.

Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *