PM Anwar lancar Tahun Melawat Malaysia 2026 di Melaka malam esok

MELAKA: Bandaraya bersejarah ini akan menjadi tumpuan utama dengan pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Encore Melaka, Klebang.

Acara gilang-gemilang ini merupakan kemuncak kepada sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 yang berlangsung selama tiga hari.

TMM2026 yang bertemakan “Malaysia Truly Asia” dan “Surreal Experiences” bertujuan memperkenalkan jiwa sebenar Malaysia melalui keunikan budaya serta keindahan alam semula jadi.

Lebih 150 perwakilan dan delegasi daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB (UNWTO) dijangka menghadiri majlis pelancaran bertaraf dunia tersebut.

Kerajaan Melaka dengan kerjasama UNWTO dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menyusun pelbagai program istimewa untuk memeriahkan acara.

Antara program yang diadakan termasuk Pesta Layang-Layang Antarabangsa dan persembahan zapin oleh 3,000 peserta serta Pesta Konda Kondi Melaka 2025.

Karnival Usahawan Melaka 2025 turut diadakan dengan menghimpunkan lebih 60 usahawan tempatan dan sasaran transaksi bernilai RM10 juta.

Kerajaan negeri menyasarkan untuk mencipta nama dalam Malaysia Book of Records melalui dua kategori utama iaitu Gabungan Persembahan Zapin Serentak Teramai dan Pertandingan Konda Kondi Pertama di Malaysia.

Pameran eksklusif ‘Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malacca’ turut diadakan untuk mengangkat kisah anak tempatan yang mengelilingi dunia.

Bahan pameran eksklusif termasuk wasiat Ferdinand Magellan tahun 1519 yang mencatatkan nama Enrique sebagai pemuda Melaka di kapal Trinidad.

Malam kemuncak perasmian TMM2026 akan dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar.

Formasi 1,000 dron akan menghiasi langit Klebang sebagai salah satu acara utama pelancaran.

Bagi memudahkan orang ramai, tiga bas ulang-alik percuma disediakan meliputi lokasi parkir utama di sekitar bandar Melaka.

Lebih 600 anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan semua acara berjalan lancar dan selamat.

Penganjuran WTD 2025 dan WTC 2025 dijangka menjadi pemangkin besar kepada ekonomi pelancongan Melaka.

Negeri ini menyasarkan untuk menarik 16.5 juta pelancong dengan unjuran pendapatan RM23.48 bilion untuk tahun ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *