PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan kes akaun bank luar negara yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah selesai pada 2022.
Suruhanjaya itu mengambil maklum kandungan tular di aplikasi TikTok berhubung dakwaan terhadap Anwar yang dikatakan memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel.
SPRM menegaskan bahawa siasatan terhadap dakwaan tersebut telah dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1999.
Hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan beliau dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa pada ketika itu.
SPRM memaklumkan penjelasan mengenai hasil siasatan tersebut turut dinyatakan dalam akuan bersumpah oleh bekas Pengarah Siasatan BPR Datuk Abdul Razak Idris yang dibuat pada 2009.
Pihak WikiLeaks juga telah menafikan pernah menyiarkan sebarang senarai akaun bank milik Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa semasa sidang Parlimen.
Penafian itu disiarkan di akhbar Harian Metro bertajuk “Dah 5 tahun baru Wikileak nafi” bertarikh 5 Oktober 2018.
Sehubungan itu, SPRM mengingatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi mana-mana individu tanpa asas yang sah.
Penyebaran maklumat tidak sahih boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam.
SPRM kekal komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti selaras dengan undang-undang negara. – Bernama