KOTA BHARU: Seorang lelaki yang disyaki memukul anak saudaranya berusia tujuh tahun dengan tukul hingga parah di sebuah rumah kedai di Jelawat ditemui meninggal dunia berhampiran Pantai Melawi, Bachok.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditemui mati dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok ru kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok DSP Mohd Azrie Sulaiman berkata kejadian memukul itu berlaku pada kira-kira 5.15 petang semalam.
Beliau berkata suspek dipercayai melarikan diri ke kawasan pantai dengan menaiki motosikal selepas melakukan serangan terhadap mangsa kanak-kanak itu.
“Mayat telah diuruskan oleh pasukan forensik manakala kanak-kanak lelaki berkenaan masih dalam keadaan kritikal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
DSP Mohd Azrie menambah bahawa kes tersebut masih disiasat lanjut dengan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Bernama