KUCHING: Sarawak akan meneruskan pembinaan sebuah velodrom baharu di negeri itu walaupun fasiliti itu mungkin tidak akan digunakan untuk Sukan SEA 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata fasiliti sukan itu penting untuk memperkukuh pembangunan sukan berbasikal memandangkan atlet Sarawak kini antara yang terbaik di Malaysia.
Beliau menyatakan setakat ini terdapat 16 acara yang telah disahkan akan dianjurkan di Sarawak untuk temasya Sukan SEA 2027.
“Antara acara yang akan berlangsung di Sarawak pada temasya Sukan SEA 2027 ialah memanah, akuatik, menembak, tenpin boling, taekwondo, tenis, skuasy, kriket, muay thai dan angkat berat.”
Abdul Karim turut memaklumkan tentang kemungkinan dua atau tiga acara tambahan dimohon oleh negara-negara peserta.
Beliau berkata polo turut dipertimbangkan sebagai acara baharu tetapi jika diluluskan ia akan diadakan di Johor.
Abdul Karim berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sukan Borneo Kuching 2025 di Stadium Perpaduan di sini.
Sebelum ini, Abdul Karim dilaporkan berkata velodrom itu akan dibina berhampiran Kompleks Sukan Sarawak di sini. – Bernama