Abu Sahid dan bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah 19 pertuduhan

SHAH ALAM: Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan seorang bekas pengarah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah terhadap 19 pertuduhan melibatkan wang berjumlah RM754.6 juta di Mahkamah Sesyen di sini.

Abu Sahid, 74, dan Datuk Yap Wee Leong, 68, berdepan pertuduhan membabitkan penyalahgunaan dana, pengemukaan tuntutan palsu serta pengubahan wang haram berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuhraya MEX II.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Abu Sahid didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM145.5 juta yang diamanahkan kepadanya sebagai Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, yang dibayar kepada sebuah syarikat pembinaan menerusi pindahan akaun antara 12 Januari hingga 13 Jun 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Yap pula didakwa melakukan sembilan tuntutan palsu berjumlah RM220.7 juta di sebuah cawangan bank dalam daerah Petaling antara 9 November 2017 hingga 26 Jun 2018 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan, Yap didakwa mengemukakan dokumen progress claim mengandungi butir matan palsu berjumlah antara RM16 juta hingga RM28 juta membabitkan kerja-kerja prapembinaan yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat pembinaan sedangkan ia tidak pernah dilakukan.

Beliau turut berdepan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM388.3 juta dengan memindahkan hasil aktiviti haram antara RM18 juta hingga RM75 juta menggunakan akaun dan 26 cek daripada akaun bank syarikat pembinaan kepada beberapa akaun bank syarikat lain termasuk akaun peribadinya.

Yap didakwa melakukan perbuatan itu di cawangan bank di Country Heights, Kajang antara 21 Jun 2017 hingga 3 Ogos 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Datuk Ahmad Akram Gharib memohon agar kesemua pertuduhan terhadap Abu Sahid dan Yap dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes sebelum ini yang akan disebut semula pada 3 November depan.

Beliau juga memohon jaminan mengikut jumlah yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu RM1.5 juta untuk Abu Sahid dan RM1 juta untuk Yap, dengan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Abu Sahid, dan Abdul Hakeem Aiman, yang mewakili Yap, tidak membantah.

Pada 8 September lepas, Abu Sahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM300 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM100 juta manakala Yap minta dibicarakan bagi 17 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu membabitkan nilai RM314.4 juta. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *