Kempen Internet Selamat benteng pelajar daripada jenayah siber

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyokong penuh pelaksanaan Kempen Internet Selamat di sekolah sebagai benteng melindungi pelajar daripada jenayah siber.

Setiausaha Agung NUTP Fauzi Singon berkata kempen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berupaya meningkatkan kesedaran tentang keselamatan digital dan cara melindungi maklumat peribadi.

“Kempen Internet Selamat dianjurkan oleh MCMC bertujuan mendidik pengguna, termasuk murid sekolah supaya menggunakan Internet secara bijak, beretika dan selamat,” katanya.

Fauzi menekankan keselamatan siber sebagai agenda penting dalam dunia digital masa kini memandangkan pelajar berisiko terdedah kepada perkara negatif dan penipuan.

Beliau menyatakan ugutan siber mudah dikenakan kepada murid yang kurang pengetahuan dan pengalaman menghadapi situasi baharu.

Melalui kempen ini, murid dapat belajar mengenal pasti tingkah laku buli siber dan cara melaporkan kejadian bagi mencegah jenayah tersebut.

Fauzi menambah NUTP menyokong kempen itu kerana ia mendidik murid menggunakan Internet secara beretika dengan menghormati orang lain dan tidak menyebar fitnah.

“Murid dapat mengenali berita benar dan berita palsu serta belajar cara menggunakan teknologi dengan bertanggungjawab untuk pelajaran,” katanya.

Pembelajaran menjadi lebih selamat dan berkesan apabila murid tahu memilih laman web atau aplikasi pembelajaran yang sahih.

Mereka juga dapat mengelak terdedah kepada kandungan tidak sesuai seperti keganasan dan pornografi.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berharap ibu bapa dan guru turut dilibatkan dalam kempen ini.

Beliau mengalu-alukan kempen tersebut tetapi menegaskan ia perlu memberi penerangan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga para guru dan ibu bapa.

“Ia perlu diperluaskan lagi dengan mengadakan kempen termasuk seminar dan dialog di sekolah dengan kerap dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohamad Ali berpandangan kempen akan lebih berkesan apabila ibu bapa dilibatkan dalam dialog dengan MCMC di sekolah.

Ibu bapa boleh mengemukakan sebarang pertanyaan atau kemusykilan terus kepada pihak berkenaan dalam sesi dialog tersebut.

Beliau berkata pelaksanaan Kempen Internet Selamat setakat ini menunjukkan hasil positif.

Mohamad Ali yakin penyalahgunaan teknologi dalam kalangan pelajar dapat dielakkan melalui kempen berterusan.

“Kami harap ia berterusan dan tidak diadakan hanya pada waktu tertentu supaya ia benar-benar dapat memberikan kesedaran dan keinsafan kepada semua warganegara,” katanya.

Sehingga 1 September lepas, sebanyak 1,928 sekolah di seluruh negara telah mengikuti modul Kempen Internet Selamat.

Ini termasuk 144 sekolah di Selangor dan 76 sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *