AirAsia sasar kuasai 45% pasaran Malaysia, 70% domestik dalam dua tahun

CEBU: AirAsia menyasarkan untuk menguasai sehingga 45 peratus daripada keseluruhan pasaran penerbangan Malaysia dan 70 peratus daripada sektor domestik dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sasaran ini disokong oleh penambahan kapasiti pesawat baharu dan strategi pengembangan antarabangsa syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Aviation Amanda Woo berkata syarikat penerbangan itu kini menguasai sebanyak 41 peratus daripada keseluruhan pasaran Malaysia dan 60 peratus daripada sektor domestik.

“Dengan tambahan kapasiti dan serahan pesawat, kami yakin dapat meningkatkan keseluruhan pegangan pasaran kami kepada 45 peratus dan pegangan pasaran domestik kepada 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu telah pulih sepenuhnya dari segi kapasiti di seluruh ASEAN dan India selepas pandemik COVID-19.

Syarikat itu kini sedang meninjau pertumbuhan di luar rantau Asia Tenggara.

“Kami telah melancarkan perkhidmatan ke Karachi (Pakistan) dan Tashkent (Uzbekistan) pada tahun ini dan Istanbul adalah destinasi seterusnya.”

Woo turut mempertimbangkan rantau Teluk yang akan menjadi hab strategik untuk menghubungkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Eropah, termasuk London.

Pengembangan ini selaras dengan strategi multihab AirAsia dan visinya untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab mega kumpulan.

“Malaysia merupakan pasaran teras kami dan kami mahu Kuala Lumpur menjadi hab pilihan.”

Dengan lebih banyak pesawat, syarikat itu yakin dapat mengukuhkan pegangan pasaran pada peringkat domestik dan antarabangsa. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *