KUALA LUMPUR: Semakan kelayakan bagi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) boleh dibuat mulai Khamis ini.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata semakan boleh dilakukan secara dalam talian menerusi portal rasmi
Beliau%20″> www.budimadani.gov.my.
Beliau menyatakan semakan juga boleh dibuat di Pusat Khidmat Pelanggan BUDI95 atau melalui aplikasi Setel dan CaltexGO selepas proses verifikasi identiti selesai.
Pengguna hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan untuk mengetahui kelayakan subsidi yang diperoleh.
Portal ini kekal digunakan dan mulai 30 Sept, setiap penggunaan subsidi akan dipaparkan secara harian termasuk baki kelayakan.
Had ditetapkan ialah 300 liter sebulan bagi setiap pengguna yang layak.
Pengguna tidak perlu membuat pendaftaran baharu kerana semakan kelayakan dilakukan secara automatik berdasarkan nombor kad pengenalan.
Di stesen minyak pula, pengguna hanya perlu memasukkan MyKad pada pembaca di pam atau kaunter kedai untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran.
Pembayaran boleh dibuat menggunakan tunai, kad kredit atau debit, atau e-dompet mengikut kesesuaian pengguna.
Selepas selesai mengisi petrol, resit akan memaparkan nilai transaksi pada harga pam, jumlah subsidi ditanggung kerajaan dan amaun sebenar yang dibayar pengguna pada harga RM1.99 seliter.
Kuota subsidi kekal 300 liter sebulan, manakala penggunaan melebihi had itu dikenakan harga pasaran semasa.
Hampir semua stesen minyak dilengkapi dengan pembaca MyKad untuk memudahkan proses semakan kelayakan.
Sebahagian syarikat minyak turut menawarkan semakan melalui aplikasi masing-masing seperti Setel dan Touch ’n Go.
Usaha ini bagi memastikan subsidi disalurkan kepada mereka yang layak, mengurangkan ketirisan serta memberi penjimatan kepada kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter bermula 30 Sept ini untuk rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan.
Bagi bukan warganegara, harga ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula tarikh sama. – Bernama