PONTIAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan sebuah kapal tangki berdaftar di Panama selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran kira-kira empat batu nautika barat Tanjung Piai.
Pemangku Pengarah Maritim Johor Kapten Maritim Kama Azri Kamil berkata pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Negeri sebelum menggerakkan bot PERKASA 42 ke lokasi.
“Kapal itu ditahan pada pukul 5.30 pagi dengan 23 kru berusia antara 23 hingga 51 tahun, iaitu 19 warga India, dua warga Tanzania, seorang warga Myanmar dan seorang warga Mesir,” katanya.
Beliau menyatakan semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah namun nakhoda gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh.
Pegawai kanan kapal, ketua jurutera serta beberapa dokumen berkaitan turut ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai untuk siasatan lanjut.
Kapal terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. – Bernama